Powered By Blogger

Tuesday 14 June 2011

Hariku Harimu

15 Jun
Hari yang sangat bermakna
Hari ini genap 25 tahun
diriku kau miliki
pelbagai kemanisan
pelbagai kedukaan
pelbagai cerita
suku abad kita melayari
bahtera mengharungi
lautan yang luas,
syukur kita masih boleh berlayar
walau kekadang bahtera
dilanda badai mengganas
dirimu masih kuat berharap
Dirimu yang membina bahtera ini
ku hanya tetamu penyeri bahtera ini
walau sesekali  cuba untuk berpaut
menyokong tiang layar di kala ribut
dan angin kencang datang melanda
Ku tidak sekuat dirimu
Aku hampir jatuh rebah
bagai kaca terhempas
di lantai bahteramu
tika dirimu alpa
dirimu hilang arah tuju
bahteramu terapung,
hampir karam dipukul gelombang
tinggi menggunung.
Ku rasakan ku telah
mati lemas ditelan lautan dalam..
Ku harungi kemasinan air lautan
Ku cuba menjadi wirawati bahteramu
Ku  ubati luka parah di tubuh dan di hatiku
Ku gagahi diri untuk tabah dan yakin
Ku sematkan di jiwaku satu keyakinan
sejuta ketabahan
Ku panjatkan doa tanpa jemu
bahtera ini milikmu
milikku jua
Bahtera klasik tersimpan
pelbagai khazanah kasih duka dan lara
walau ada retak di sana sini
walau ada sudut yang pudar
walau sudah tiada ukiran nama kita di kain layar
walau tiada warna emas berkilau penarik pandangan
Bahtera ini masih kekal
hingga hari ini 15 Jun

15 Jun ia terbina
15 Jun kelahiranmu
semoga hari ini akan lahir satu kenangan
satu kesapaduan tarikh keramat
Bahtera ini terus belayar
kerana jiwamu ada padaku
walau dirimu sentiasa jauh
ketabahanku keyakinanku
ku masih bisa belayar mengharung
bengis dan kejamnya hempasan
badai di lautan luas
Hanyaku tahu hariku harimu
tiada siapa yang tahu pasti
kenapa dan mengapa
kita dipertemukan untuk diuji
yang pasti setiap pelayaran

ada visi dan misi
ku harapkan cintamu
masih ada walau di akhir pelayaran ini
buatku..

No comments:

Post a Comment